World News in Malay

SIARAN MEDIA: FAM UMUM PESTABOLA MERDEKA 2024 AKAN BERLANGSUNG SEPTEMBER; 4 PASUKAN SAHKAN PENYERTAAN

2024-07-01

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan bahawa pertandingan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 secara rasminya akan dilangsungkan ketika Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA yang akan datang iaitu di antara 2 hingga 10 September 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selain skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon yang kini berkedudukan ranking ke-135 dunia, tiga pasukan lain yang telah mengesahkan penyertaan pada pertandingan edisi kali ini ialah juara bertahan, Tajikistan yang kini berada di ranking ke-102 dunia, Lebanon (117) dan Filipina (147).

Empat pasukan ini akan diundi bagi menentukan lawan masing-masing pada perlawanan pertama iaitu Separuh Akhir 1 dan 2, disusuli perlawanan kedua iaitu Final yang menemukan pemenang Separuh Akhir 1 dan 2 serta Penentuan Tempat Ketiga di antara dua pasukan yang kalah pada Separuh Akhir 1 dan 2.

Ini merupakan kali pertama Pestabola Merdeka berjaya dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun, iaitu kali terakhir diadakan berturut-turut pada 2006, 2007 dan 2008, sebelum ia diadakan pada 2013 dan kembali selepas 10 tahun penganjurannya pada edisi tahun lalu, 2023.

FAM berharap para penyokong Harimau Malaya dapat sama-sama memeriahkan lagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 dengan hadir ke Stadium Nasional memandangkan Edisi Ke-43 ini berlangsung ketika Bulan Kebangsaan iaitu selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September.

Pada Edisi Ke-42 tahun lalu yang turut berlangsung di Stadium Nasional, skuad Harimau Malaya yang berjaya menewaskan India 4-2 pada separuh akhir pada 13 Oktober 2023, sekadar muncul naib juara selepas tewas 2-0 kepada Tajikistan pada Final yang berlangsung pada 17 Oktober 2023.

Terdahulu, Tajikistan yang merupakan pasukan pengganti selepas Lebanon menarik diri (kerana Lebanon dan Palestin telah diundi dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027), layak ke Final secara 'bye' selepas lawan mereka di separuh akhir, Palestin juga terpaksa menarik diri kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur ekoran situasi tegang di negara berkenaan ketika itu.

Tarikh majlis undian Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 akan dimaklumkan kemudian bagi menentukan pasukan mana yang bakal bertembung pada Separuh Akhir, selain tarikh bagi Hari Perlawanan 1 untuk Separuh Akhir dan Hari Perlawanan 2 bagi Final dan Penentuan Tempat Ketiga turut akan ditetapkan nanti.

 

Datuk Noor Azman Hj Rahman

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Isnin, 1 Julai 2024

Читайте на 123ru.net